Saturday, November 22, 2008
Ciri-Ciri Orang Yang Beriman
penerangan hadith ni sy petik dr hardcopy from one of khutbah jumaat....tajuk utamanya....ciri-ciri org yg beriman...
Hadith Rasulullah s.a.w yg bermaksud.."Apabila Allah menghendaki seorang hambaNya mendapat kebaikan, Ia buka kunci hatinya dan menjadikan dalam hati itu rasa keyakinan dan kepercayaan yang kukuh, dan Ia menjadikan hatinya sentiasa sedar tentang liku-liku hidup yang dijalaninya dan Ia jadikan hatinya sihat sejahtera, lidahnya bercakap benar, tingkah laku, gerak geri dan perangainya lurus. Juga Ia menjadikan telinganya mendengar kebenaran dan matanya melihat hakikat kenyataan"
Dari keterangan sabda Rasulullah s.a.w itu, dapat kita fahami bahawa di antara tanda-tanda seorang itu disayangi Allah ialah
Pertama, seorang hamba yang hatinya sentiasa terbuka untuk menerima pancaran cahaya keimanan, hati yang membuang debu-debu kelalaian dan karat kejahilan. Hatinya mengenali Allah, cahaya ma'rifatnya menghiasi seluruh hati dan qalbunya. Hatinya menjadi tadahan wahyu, sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk menerima kebenaran.
Kedua, hati yang penuh kecintaan terhadap Allah, ma'rifat terhadap sifat-sifat kesempurnaan itu diisi penuh dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh, kekayaan yang tidak terpukau dan tergoda dengan fitnah-fitnah. Keyakinan yang utuh, yang tidak bergoncang dengan rayu fahaman kebendaan. Hati yang percaya bahawa apa yang ada di tangan Allah adalah lebih terjamin, mantap dan kukuh daripada apa yang ada di tangan kita sendiri.
Ketiga, hati yang penuh dengan keimanan, ma'rifat terhadap Allah dengan keyakinan yang tidak berbelah bagi, sentiasa dalam keadaan sedar, waspada dan sensitif dalam setiap langkah yang diatur, dalam setiap program yang disusun, hingga terselamat dari melakukan sebarang dosa dan noda, tidak tunduk kepada hawa nafsu, tidak menyeleweng dari landasan dan ajaran Allah.
Keempat, orang yang disayangi Allah, hatinya penuh dengan keyakinan, ma'rifat terhadap kekuasaan Allah, hatinya sihat sejahtera, tidak dihinggapi oleh sebarang penyakit hati. Dalam hatinya tidak bertapak hasad dengki, rasa riak, sombong, takbur, dendam, marah, rasa permusuhan dan perseteruan terhadap sesama Islam. Hatinya bebas dari penyakit ragu-ragu dan was-was, malah sentiasa berlapang dada. Sanggup menegur orang lain dan bersedia menerima dan mengakui kebaikan yang dibuat oleh orang lain.
Kelima, orang yang disayangi Allah, lidahnya tidak menawarkan janji kosong, kata-kata manis tapi penuh kepalsuan. Sebaliknya ia sentiasa bercakap benar dan berani memperkatakan kebenaran walaupun kebenaran itu tidak disenangi oleh sebilangan orang. Lidahnya yang tajam itu tidak digunakan untuk menikam, untuk menjatuhkan maruah saudaranya sesama Islam dengan kata-kata fitnah, keji atau maki hamun.
Keenam, orang yang disayangi Allah sentiasa memiliki akhlak, keperibadian watak, tingkahlaku, adab sopan, budi pekerti yang luhur, lurus mengikut garis panduan yang diatur oleh Allah s.w.t melalui aqidah yang benar, ibadat yang tepat, pemikiran yang luas dan emosi tenang.
Ketujuh, orang yang disayangi Allah tetap menggunakan telinga bagi mendengar pengajaran-pengajaran, nasihat-nasihat yang benar , tidak mudah menerima berita-berita palsu dan khabar-khabar angin atau berita-berita fitnah yang disebarkan oleh tukang-tukang fitnah. Disamping itu, orang yang disayangi Allah juga mempunyai mata yang tajam, yang dapat membaca, dapat melihat rahsia-rahsia ketuhanan di sebalik kejadian-kejadian ciptaan Allah s.w.t. Matanya dapat melihat kebenaran dengan hujjah-hujjah yang terang. Matanya dapat meneropong dengan penuh teliti terhadap kebaikan dan keindahan ajaran Islam.
Allah berfirman dalam surah Al-Jathiah, ayat 7 dan 8, ertinya: Kecelakaan besar bagi setiap pendusta yang berdosa, yang mendengar ayat-ayat Allah (keterangan Allah) yang sentiasa dibaca kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya) seolah-olah ia tidak mendengar. Oleh itu, gembirakanlah dia dengan azab yang amat pedih.
sama2lah kita hayati 7 tanda org2 yg disayangi oleh Allah ni.....my suggestion....print 7 tanda ni n tampalkan di mane2 or selitkan dlm clear file ke.....as utk kite bile senang2......kite rujuk blk.....adekah kite melakukan perkara yg boley membuatkan Allah sayang pd kite....atau Allah marah pd kite? wallahua'lam....
*terasa sangat jauh nak disayangi Allah. amalanku tidak seberapa, terasa malu denganMu, sayangilah daku Ya Allah...jazakallahu khair.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment